Rempit adalah senario yang mana sekumpulan penunggang motosikal menunggang motosikal secara berterusan dan merbahaya. Perlakuan rempit ini membahayakan dirinya sendiri mahupun pengguna jalan raya yang lain. Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, rempit bermaksud menyesah atau memukul sesuatu contohnya dengan menggunakan rotan. Sebutan rempit itu sendiri sebenarnya adalah berasal daripada perkataan rampit iaitu menggambarkan pelumba memeras minyak di jalan raya (litar).
Masalah sosial seperti aktiviti pelumba haram adalah penunggang motosikal yang tidak bertanggungjawab atau lebih dikenali sebagai ‘mat rempit’ bukanlah merupakan sesuatu isu yang baru memandangkan gejala ini wujud sekian lamanya dijalan raya di negara kita. Mat Rempit merupakan istilah kepada penunggang motosikal (lelaki) yang terlibat dalam perlumbaan haram, biasanya dengan menggunakan motor kapcai atau skuter. Ia merupakan satu gejala sosial yang majoritinya dilakukan oleh pihak remaja di Malaysia pada masa sekarang. Minah rempit pula merupakan seorang pelumba perempuan atau teman wanita Mat Rempit.
Teknik menunggang Teknik menunggang juga diperhatikan dan berubah dari semasa ke semasa. Semakin bahaya, semakin mendapat tepukan penonton dan mereka berasa bangga menjadi juara. Teknik itu seperti willi, baring, berdiri dan sebagainya.
Cabaran Jalan yang mencabar ialah di selekoh berbahaya, jalan berlubang, berair, berlumba melawan arus, tanpa lampu depan dan menerima cabaran rakan-rakan, musuh dan orang ramai.
Sanggup mati katak Mereka sanggup cedera parah malah berani mati katak ketika berlumba. Ketika berlumba, mereka akan pejam mata, lampu motosikal ditutup dan menunggang motosikal melawan arus jalan raya. Pastinya mereka di bawah pengaruh dadah sintetik seperti syabu dan ice. Ketika berlumba mereka terbayang 'ular' atau musuh 'alien' yang perlu ditentang habis-habisan. Mereka ditugaskan untuk menjadi hero membunuh musuh. Mereka tidak ada perlindungan diri seperti kasut, seluar tebal , lapik lutut, topi keledar mahupun insurans nyawa.
Sekatan jalan raya Sekatan jalan raya oleh polis trafik lebih menyeronokkan. Mereka akan berpatah balik melawan arus jika ada sekatan polis. Ada juga yang merempuh sekatan jalan raya. Polis trafik yang bersenjata pistol dan kayu cota tidak dipedulikan. Ibu bapa dan masyarakat akan menyalahkan polis jika bertindak kasar seperti menendang motosikal yang bergerak laju. Ada juga kes polis yang membaling kayu pada tayar yang bergerak laju untuk melarikan diri. Usaha polis trafik mengadakan sekatan jalan raya dan mengawasi pergerakan mat rempit seolah-olah diperlekehkan sehingga ada yang berani merempuh sekatan yang diadakan. Kelicikan mat rempit mengenal pasti jalan-jalan yang selamat juga menyebabkan golongan ini mendabik dada kononnya mereka bijak melarikan diri daripada pengawasan pihak berkuasa. Malahan, anggota polis sendiri pernah menjadi mangsa tindakan melulu mat rempit di mana ada anggota polis yang pernah cedera dan terkorban dalam operasi terhadap mat rempit.
//PUNCA-PUNCA BERLAKUNYA REMPIT//
Sama ada secara sedar atau tidak masalah remaja merempit ini sebenarnya berpunca daripada pelbagai masalah sama ada dalaman mahupun luaran remaja itu sendiri. Statistik menunjukkan bahawa 87 peratus mat rempit adalah dari golongan remaja yang berusia 14 tahun hingga 25 tahun, ini adalah berdasarkan kajian oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia dengan kerjasama pusat pengajian psikologi dan pembangunan Malaysia. Bosan adalah faktor utama mengapa mereka melakukan kegiatan sedemikian dan ia menunjukkan peratusan sebanyak 48.1 peratus mengikut statistik tahuanan yang dianalisis oleh pihak berkuasa. Golongan remaja ini juga memberi tanggapan bahawa mereka dapat menghilangkan rasa bosan dengan melakukan aktiviti merempit ini dan mampu untuk menggunakan masa lapang ini dengan aktiviti merempit tanpa memikirkan kesan yang akan mereka hadapi. Pelakuan dan masalah merempit ini adalah melibatkan pengguna jalan raya yang lain malah ia lebih membahayakan pengguna jalan raya yang lain.
Punca lain yang menyebabkan wujudnya masalah merempit ini adalah perasaan ingin tahu dan ingin mencuba dalam kalangan remaja. Seperti yang kita semua maklum para remaja adalah golongan yang paling berisiko dan mudah terpengaruh dengan perkara yang negatif. Oleh sebab desakan perasaan remaja yang suka mencuba dan tidak takut menghadapi risiko yang bakal mereka tempuhi, para remaja sanggup dan berani melakukan apa sahaja malah mereka tidak memikirkan pelbagai kesan buruk yang akan timbul disebabkan oleh sikap mereka ini. Perasaan ingin mencuba ini akan menghalang pemikiran waras para remaja untuk memikirkan tentang kebaikan dan keburukan yang akan dialaminya sekiranya mereka terlibat dengan aktiviti merempit ini malahan mereka mudah seronok apabila melakukan aksi-aksi merempit. Media massa juga boleh mempengaruhi para remaja untuk melakukan aksi berbahaya contohnya wujudnya filem-filem aksi seperti rempit,bohsia dan samseng jalanan yang mana para remaja cuba untuk melakukan aksi-aksi seperti didalam filem tersebut.Kerana wujudnya perasaan ingin tahu dalam diri remaja inilah yang menyebabkan mereka mudah terpengaruh dengan aksi yang dipaparkan di media massa.
Selain itu juga remaja terpengaruh dengan rakan-rakan juga dapat dikenal pasti kenapa berlakunya masalah rempit. Remaja selalunya mempunyai sikap yang akan menurut sahaja sikap dan tingkah laku rakan-rakan sebaya mereka, contohnya remaja yang berkawan dengan golongan mat rempit mempunyai kecenderungan untuk terjerumus dalam melakukan aktiviti merempit ini kerana mereka akan dianggap 'ketinggalan zaman' kerana tidak melakukan aktiviti yang sama seperti rakan-rakan yang lain. Para remaja juga cenderung untuk meniru apa yang dilakukan oleh rakan sebaya mereka. Jika mereka memilih untuk meniru aksi rakan-rakan mereka untuk merempit, mereka tidak akan memikirkan bahawa perkara tersebut adalah salah dan menganggap perkara itu betul ekoran rakan-rakannya melakukan aktiviti sedemikian.
Punca yang menyebabkan berlakunya gejala rempit ini adalah juga disebabkan oleh gaya hidup dan taraf pendidikan remaja itu sendiri. Majoriti remaja yang terlibat dengan lumba haram ini adalah dari golongan yang berpendidikan rendah malah pemikiran mereka juga sempit kerana tidak berfikir dengan semasak-masaknya apabila melakukan aktiviti sedemikian. Mereka leka akan risiko yang akan mereka hadapi jika mereka melakukan kegiatan merempit ini. Mereka juga tidak memikirkan kesan-kesan negatif yang akan mereka alami disamping membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain. Remaja yang terlibat ini juga adalah daripada golongan remaja di bawah umur yang mana mereka masih lagi memerlukan bimbingan dan pengawasan dari ibubapa mereka. Sebilangan besar yang terlibat dalam gejala ini masih berada di peringkat sekolah menengah.
- Kurang Pengawasan Daripada Ibu Bapa
Antara punca lain yang menyebabkan berlakunya gejala ini adalah kurangnya pengawasan dari pada pihak ibu bapa dan tidak mengambil cakna tentang aktiviti yang dilakukankan oleh anak-anak mereka. Malah anak-anak yang bersekolah ini diberi motosikal oleh ibubapa mereka untuk kegunaan untuk ke sekolah namun seringkali disalahgunakan oleh anak-anak mereka dengan mengambil kesempatan untuk melakukan aktiviti merempit pada sebelah malam. Namun ibubapa mereka langsung tidak mempersoalkan ke mana perginya anak mereka dan apa aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak di luar pengetahuan mereka.
Antara kesan yang timbul daripada perbuatan gejala merempit ini ialah meningkatkan masalah keruntuhan moral atau akhlak dalam kalangan remaja. Selain itu masalah merempit ini juga akan menyebabkan wujud pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan seperti yang berlaku pada hari ini, hilang sifat beradab, seks bebas dan lain-lain. Namun, perkara yang paling menyedihkan apabila kita bercakap mengenai mat rempit ini ialah ianya terdiri daripada orang yang mempunyai kepercayaan agama yang kita tahu sejak kecil lagi telah disemai dengan adat serta kesopanan dalam diri.
Selain itu, budaya merempit ini juga meningkatkan kemalangan jalan raya. Kemalangan ini selalunya berpunca daripada sikap cuai dan cara menunggang motosikal yang berterusan oleh penunggang yang merempit. Sikap menunggang yang tidak ada etika dalam kalangan mat rempit ini menyebabkan sebahagian daripada pemandu kita takut untuk memandu di jalan raya kerana mereka takut akan menjadi mangsa kemalangan yang berpunca daripada mat rempit ini.
Masalah merempit ini juga akan menyebabkan meningkatnya masalah jenayah seperti merogol, merompak, samun, curi motosikal dan sebagainya. Merempit seolah-olah menjadi satu pesta bagi kalangan kaum muda untuk melakukan kegiatan-kegiatan tidak bermoral ini.
Di samping itu, gejala merempit yang semakin berleluasa ini juga memberi kesan kepada pasukan keselamatan negara. Contohnya isu merempit yang semakin hari semakin meruncing ini akan menyebabkan imej pasukan polis negara tercemar. Masyarakat seolah-olah memandang pihak berkuasa tidak menjalankan tugas mereka walaupun terdapat banyak langkah yang telah pihak mereka ambil untuk membanteras masalah merempit ini. Mat rempit ini juga seakan-akan bermain dengan undang-undang dan mencabar undang-undang. Mat rempit ini juga menjejaskan imej negara terutamanya di mata pelancong yang datang melancong ke negara kita ini.
Masalah merempit ini turut menyebabkan pembaziran masa dan pendapatan negara untuk mengatasinya. Sebagai contoh, kerajaan terpaksa menjalankan pelbagai kempen penguatkuasaan undang-undang dan program-program khas bagi mengatasi masalah merempit ini.
Yang terakhir gejala merempit ini menggangu ketenteraman awam. Sebagai contoh mat rempit yang menjalankan aktiviti merempit di sekitar kawasan perumahan awam akan mengganggu ketenteraman penduduk di situ. Bunyi bising yang terlaku kuat daripada enjin motosikal boleh menyebabkan berlakunya masalah pencemaran bunyi.
• Bagi membanteras gejala lumba haram di ibu negara, polis trafik telah melancarkan operasi besar-besaran dengan lebih 500 mat rempit diperiksa di Dataran Merdeka. Operasi sama turut diadakan serentak di negeri lain iaitu Perak, Pulau Pinang dan Selangor.
• Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye mencadangkan Akta Pengangkutan Jalan dipinda bagi membendung gejala "mat rempit" dan perlumbaan motosikal haram. Pelajar berumur 15 hingga 19 tahun merupakan pelajar yang kandas dalam pelajaran atau telah berhenti sekolah, perlu ditahan di sekolah juvana, Sekolah Henry Gurney jika didapati bersalah untuk suatu tempoh ditetapkan. Mereka hendaklah dihukum membuat kerja-kerja amal sehingga 100 jam dan motosikal dirampas.
• Samseng jalan raya atau 'Mat Rempit' mungkin akan dikenakan hukuman lebih berat iaitu hukuman penjara mandatori setelah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dipinda. Ini berikutan hukuman yang sedia ada ke atas samseng jalan raya yang disabitkan kesalahan iaitu denda minimum RM5,000 atau penjara tidak lebih daripada lima tahun tidak mampu menyedarkan mereka. Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof berkata, cadangan itu yang kini masih pada peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dibawa ke Kementerian Pengangkutan sebelum mendapatkan kelulusan."Pihak kita ada berbincang untuk laksanakan hukuman penjara mandatori bagi samseng jalanan. Sebelum ini kebanyakan kes, pesalah hanya membayar denda atau saman, tetapi dengan dikuatkuasakan undang-undang tersebut, semua pesalah perlu menjalani hukuman di penjara mengikut kesalahan yang dilakukan," katanya kepada pemberita di Dataran Merdeka di sini hari ini. Beliau berkata, bagaimanapun hukuman penjara mandatori itu hanya dicadangkan bagi samseng jalanan yang berumur 18 tahun ke atas manakala bagi mereka yang di bawah umur, kumpulan berkenaan masih tertakluk pada Akta Perlindungan Kanak-kanak. "Kita juga sedang mengkaji supaya pesalah-pesalah yang di bawah umur dihantar ke sekolah-sekolah juvana," katanya. Dalam usaha mencegah kegiatan lumba haram dengan lebih agresif, beliau berkata, pihaknya akan memperluaskan lagi Skuad 42 yang khusus menjalankan operasi membanteras lumba haram ke semua kontinjen di seluruh negara. "Kini ada beberapa kontinjen yang sudah ada skuad 42 seperti Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) yang sememangnya fokus kepada operasi cegah lumba haram. Jadi saya berharap setiap kontinjen akan mempunyai Skuad 42 mereka masing-masing sebelum hujung tahun ini," katanya.
• Presiden kelab motosikal "Kelab RD", Azhanyzam Zakaria pula berpendapat langkah kerajaan itu baik namun masih belum mencukupi untuk membendung gejala mat rempit atau perlumbaan motosikal haram ini. Ketika dihubungi, beliau berkata kerajaan juga perlu menimbangkan untuk mewujudkan satu lagi litar lumba yang dirasakannya strategik iaitu di Bukit Jalil selain mengenakan tindakan tegas kepada mereka yang terlibat dengan perlumbaan haram. Azhanyzam berpendapat pembinaan litar lumba di Bukit Jalil berhampiran Kuala Lumpur mungkin mampu mengurangkan aktiviti perlumbaan motosikal haram di jalan raya ibu kota. "Kalau di Bukit Jalil, dekatlah sikit berbanding Sepang. Mereka ini tak mahu tempat yang jauh. Sekiranya kerajaan sudah menyediakan tempat untuk mereka melakukan aktiviti dan kalau mereka masih lagi berlumba haram di luar, kenakan sahaja tindakan tegas terhadap mereka. "Tindakan merampas motosikal bukanlah satu tindakan yang baik, sebaliknya akan mengundang jenayah lain iaitu mencuri motosikal. Kita kena tahu kebanyakan mereka ini datang daripada golongan keluarga bermasalah serta hidup dalam kemiskinan," katanya. Azhanyzam juga berpendapat tindakan undang-undang yang lebih ketat harus meliputi pembatalan lesen memandu serta-merta dan pengharaman pembelian motosikal bagi merekayang disabitkan kesalahan.
• Bagi menangani isu mat rempit, pelbagai saranan dalam bentuk meminda peraturan dan undang-undang jalan raya hendak dilakukan. Tetapi akhirnya, apa guna segala undang-undang yang digubal jika tidak ada penguatkuasaan dilakukan. Walaupun mungkin sesetengah anggota masyarakat sudah bosan dan letih dengan karenah mat rempit, tetapi kerajaan harus terus berusaha dan serius mewujudkan kesedaran dan membina akhlak mulia di kalangan remaja agar tidak terjebak dengan gejala ini. Kempen membanteras gejala mat rempit selama ini hanya sia-sia kerana tidak mendapat sokongan ibu bapa serta masyarakat. Kegagalan kawalan dan kurang perhatian ibu bapa menyebabkan anak-anak mereka sanggup menggadai nyawa di jalan raya. Kerajaan perlu terus serius mengadakan kempen berterusan untuk memberi kesedaran kepada golongan muda supaya sayangkan diri dan tidak menggadaikan nyawa di atas jalan raya. Selain pendekatan lembut, pendekatan keras juga perlu dilakukan. Tiada istilah kompromi untuk menangani golongan mat rempit yang menunggang motosikal secara berbahaya.
• Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalinkan kerjasama yang lebih erat dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi membanteras gejala mat rempit yang kian berleluasa sejak kebelakangan ini. Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan JPJ berhubung usaha meningkatkan kerjasama itu, baru-baru ini. Menurutnya, kerjasama antara dua agensi penguat kuasa itu perlu disebabkan JPJ mempunyai beberapa keistimewaan yang tidak ada pada pasukan polis.
//HUKUMAN YANG DIKENAKAN//
Lumba Haram
Bil 1.
Kesalahan Menaja/menyertai lumba haram.
Seksyen/ Kaedah Kesalahan Seksyen 81
Seksyen/ Kaedah Hukuman Seksyen 81(2)
Seksyen 81(3)
Kadar Kompaun Mahkamah
Kadar Mahkamah Denda RM 2000 atau 6 bulan penjara atau kedua-duanya. Denda RM 2000 atau 6 bulan penjara dan lesen digantung satu bulan. Sabitan kedua denda RM 5000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya dan lesen digantung selama 3 tahun.
//KESIMPULAN//
Sebagaimana gejala sosial yang lain, peranan yang dimainkan ibu bapa adalah amat penting untuk menjayakan sebarang usaha menangani masalah tersebut. Selain mengenakan tindakan tegas ke atas mat rempit, tindakan yang sama tegas terhadap ibu bapa atau pemilik motosikal yang digunakan juga boleh membantu untuk menangani masalah ini, kalau tidak sekalipun, membantu mengelakkan gejala ini dari menjadi lebih buruk lagi. aktivis sosial termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga perlu memainkan peranan untuk mencapai matlamat menangani gejala merempit. Apa sekalipun, yang pasti, masalah ini kini kian meruncing dan kesepaduan semua pihak adalah merupakan kunci yang akan dapat menyelesaikan segala permasalahan ini
|